Tuesday 24 September 2013

Kenali Pakar Anda

Bengkel Hias Rias (Jahitan Manik Tudung )



Puan Rosidah Darus merupakan anak jati Sungai Besar, Selangor. Beliau telah dilahirkan pada 11 Oktober 1976 yang merupakan anak sulung daripada 3 orang adik beradik.  Beliau turut memiliki Diploma dalam jurusan Bahasa Melayu & Linguistik  daripada Universiti Malaya.

Minatnya dalam bidang jahitan manik dan labuci ini telah mendorong beliau untuk membuka Seyha Beads & Tailor pada tahun 2005. Perkhidmatan yang ditawarkan di kedai beliau meliputi tempahan jahitan manik, labuci dan sulaman. Selain itu beliau turut menerima tempahan lain seperti  baju kurung, kebaya, baju pengantin dan banyak lagi.

Keindahan sulaman dan kualiti jahitan yang kemas dan teliti telah berjaya menambat hati para pelanggan daripada pelbagai pelusuk negara malah hingga ke Singapura. Beliau juga pernah menjadi tetamu undangan dalam rancangan Nona, TV3 pada tahun 2008 dan rancangan Nasi Lemak Kopi 'O' di TV9 pada tahun lepas. 

Wednesday 4 July 2012

Expert Workshop - Gubahan Bunga Dip



Pada 25 Jun 2012 yang lalu, satu bengkel Expert Workshop(EW) telah dijalankan di Felda Gunung Besout 4. EW pada kali ini bertemakan Gubahan Bunga Dip dengan pakar jemputan yang dibawa khas iaitu Puan Shajaratul Ismail. Ibu kepada 1 orang cahaya mata ini, mula melibatkan diri dalam bidang Gubahan dan Hantaran sejak 7 tahun yang lalu. Kepakarannya dalam bidang ini terbukti dengan wujudnya blog 'Shajaratul Design' serta butik andamannya yang beroperasi di Kuala Lumpur.

Program EW dimulakan pada pukul 9.30 pagi dengan iringan doa serta tayangan video pendek mengenai Pusat Jalurlebar Komuniti (PJK) Felda Besout 4. Selain itu, para peserta turut diajar menggunakan laman sesawang khas yang dibangunkan bagi memudahkan pihak komuniti mendapatkan tips serta rujukan mengenai aktiviti EW ini. 

Program kali ini mendapat sambutan yang lebih menggalakkan dengan penyertaan seramai 40 orang warga komuniti yang terdiri daripada ahli-ahli GPW, Beliawanis dan Remaja sendiri. Puan Shajaratul menunjukkan demonstrasi ringkas sambil dibantu oleh beberapa orang rakan beliau yang turut sama membantu melancarkan proses menyiapkan kuntuman Bunga Dip tersebut.

Para peserta begitu teruja dalam menyiapkan kuntuman bunga masing-masing. Puan Shajaratul serta rakan-rakan juga tidak jemu memberi tips dan tunjuk ajar kepada para peserta. Sikap ramah yang ditunjukkan membuatkan beliau sangat disenangi oleh para peserta EW. Setelah siap, kesemua peserta masing-masing mengabadikan kenangan bersama Puan Shajaratul yang digelar 'Cikgu' oleh peserta EW.  

Pihak PJK Besout 4 juga turut menerima maklumbalas positif dari pihak komuniti sendiri. Kesungguhan yang ditunjukkan oleh warga Felda Besout 4 menunjukkan bahawa program seperti ini perlu diteruskan lagi pada masa-masa akan datang. 


Sunday 1 July 2012

Kenali Expert Anda | Gubahan Bunga Dip

Pakar yang akan dibawa khas ke Felda Gunung Besout 4 ini merupakan anak jati Alor Setar, Kedah iaitu Puan Shajaratul Ismail. Anak ke-2  daripada 5 orang adik-beradik ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Seni Komputer Digital daripada Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

        Ibu kepada seorang putera berusia 7 tahun ini mula berkecimpung dalam bidang perundingan perkahwinan semenjak 7 tahun yang lalu. Pada mulanya, bidang seni hiasan dan andaman hanyalah sekadar hobi semata-mata namun galakan daripada teman-teman dan keluarga telah mendorong beliau untuk menjadikan bidang ini sebagai satu kerjaya. 

        Keputusan nekad yang diambil untuk menubuhkan butik sendiri iaitu Shajaratul Design ternyata membuahkan hasil yang membanggakan. Kini, butiknya menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti pakej perkahwinan, gubahan hantaran, cenderahati yang dihasilkan daripada bunga-bunga kristal, dip, dan banyak lagi. 

          Kualiti kerja yang sangat teliti dan kreativiti beliau yang tinggi telah berjaya menempatkan beliau sebaris dengan perunding perkahwinan ternama yang lain di seluruh Malaysia. Buktinya, beliau sering mengendalikan majlis perkahwinan golongan VIP  di hotel-hotel ternama di Lembah Klang seperti di The Palace of Golden Horses, Equatorial dan Concorde. 

          Kejayaan lain yang telah dikecapi oleh usahawan muda ini mendapat liputan media yang meluas antaranya di dalam Majalah Pengantin, Majalah Nona dan Majalah RASA. Beliau juga pernah bersiaran di dalam rancangan Wanita Hari Ini  dan Ratu Sehari di TV3. Selain itu, beliau juga sering dijemput menyertai Pameran Perkahwinan di sekitar Kuala Lumpur bagi membuat  demonstrasi gubahan hantaran dan cenderahati.