Sunday 1 July 2012

Kenali Expert Anda | Gubahan Bunga Dip

Pakar yang akan dibawa khas ke Felda Gunung Besout 4 ini merupakan anak jati Alor Setar, Kedah iaitu Puan Shajaratul Ismail. Anak ke-2  daripada 5 orang adik-beradik ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Seni Komputer Digital daripada Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

        Ibu kepada seorang putera berusia 7 tahun ini mula berkecimpung dalam bidang perundingan perkahwinan semenjak 7 tahun yang lalu. Pada mulanya, bidang seni hiasan dan andaman hanyalah sekadar hobi semata-mata namun galakan daripada teman-teman dan keluarga telah mendorong beliau untuk menjadikan bidang ini sebagai satu kerjaya. 

        Keputusan nekad yang diambil untuk menubuhkan butik sendiri iaitu Shajaratul Design ternyata membuahkan hasil yang membanggakan. Kini, butiknya menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti pakej perkahwinan, gubahan hantaran, cenderahati yang dihasilkan daripada bunga-bunga kristal, dip, dan banyak lagi. 

          Kualiti kerja yang sangat teliti dan kreativiti beliau yang tinggi telah berjaya menempatkan beliau sebaris dengan perunding perkahwinan ternama yang lain di seluruh Malaysia. Buktinya, beliau sering mengendalikan majlis perkahwinan golongan VIP  di hotel-hotel ternama di Lembah Klang seperti di The Palace of Golden Horses, Equatorial dan Concorde. 

          Kejayaan lain yang telah dikecapi oleh usahawan muda ini mendapat liputan media yang meluas antaranya di dalam Majalah Pengantin, Majalah Nona dan Majalah RASA. Beliau juga pernah bersiaran di dalam rancangan Wanita Hari Ini  dan Ratu Sehari di TV3. Selain itu, beliau juga sering dijemput menyertai Pameran Perkahwinan di sekitar Kuala Lumpur bagi membuat  demonstrasi gubahan hantaran dan cenderahati.

No comments:

Post a Comment